Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungei Ujong Undang Luak Sungai Ujong

Dato' Undang Luak Sungei Ujong dipilih daripada Waris di-Darat iaitu Suku Biduanda Waris Klana yang mendiami mukim Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Suku Biduanda Waris Klana terdiri daripada Waris Klana di-Hulu (mendiami Kampung Telaga Undang Pantai) dan Waris Klana di-Hilir (mendiami Kampung Setul Pantai).

Waris Klana di-Hulu diketuai oleh Dato' Lembaga bergelar Dato Johan, manakala Waris Klana di-Hilir diketuai Dato Maharaja Lela yang juga dibantu buapak Waris Klana di-Hilir bergelar Dato Lela Bangsa.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungei Ujong dibahagi kepada dua iaitu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Waris Klana. Lembaga Tiang Balai dianggotai oleh:

  1. Dato Andulika Mendulika (Tua Lembaga Tiang Balai)
  2. Dato Maharaja Diraja
  3. Dato Akhiruzzaman Rantau
  4. Dato Dagang Paroi
  5. Dato Amar Setia Anak Undang
  6. Dato Penghulu Muda Labu

Lembaga Waris Klana dianggotai oleh:

  1. Dato Johan
  2. Dato Maharaja Lela

Segala urusan adat istiadat dan hal ehwal Balai Undang Luak Sungei Ujong pula diketuai oleh Dato Andulika Mendulika yang berperanan sebagai perdana menteri kepada Dato' Undang Luak Sungei Ujong.

Dato Laksamana Orang Kaya Luak Sungei Ujong berperanan menjaga adat istiadat yang melibatkan juak hulubalang Sungei Ujong tetapi juak-juak hulubalang ini sebenarnya adalah buapak-buapak di kawasan masing-masing yang diketuai oleh Yang Mulia Dato Johan yang mempunyai juak hulubalang terbesar.

Dato Johan merupakan Tua Waris Klana Perut Hulu yang merupakan jawatan yang paling kiri di sebelah Yang Teramat Mulia Dato' Klana Petra.

Bagi menyelesaikan permasalahan adat di Sungei Ujong, Ibu Soko Telaga Undang (adalah perjawatan disandang salah seorang Ibu Soko Waris Klana di-Hulu) berperanan sebagai penimbang tara dalam kalangan pembesar adat Luak Sungei Ujong bagi mendapatkan keputusan kehakiman sebelum dipersembahkan terhadap Dato' Undang Luak Sungei Ujong untuk memperoleh perkenan.

Telaga Undang Sungei Ujong mempunyai fungsi sama seperti Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bagi luak Sungei Ujong. Telapak Telaga Undang Sungei Ujong terletak di Kampung Telaga Undang, Pantai, Batu 9, Seremban, Negeri Sembilan.